Malay Scanlation (Skanlasi Melayu) +14
Group banner
Group info
Alt name: None
Stats:
  • 529
  • 6
  • 45
Links:
Actions:
Member info
Leader: ahyesimmad
Members:
Upload restriction: Group members only
Group delay: None
Description
SELAMAT DATANG KE SKANLASI (IMBAS TERJEMAH) MALAY SCANLATION!!!

Pengenalan
Ini merupakan kumpulan penterjemah karya manga ke dalam Bahasa Melayu yang bergerak secara bebas (independent) dan nirlaba (non-profit). Insiatif ini dilakukan untuk memupuk minat pembaca terhadap manga Jepun, di samping memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam karya manga.

Selalunya, manga yang sudah diterjemah akan dimuat naik satu bab setiap hari, atau 2 bab dalam 3 hari, bergantung kepada kesibukan jadual. Proses penterjemahan bermula dengan menterjemah dari terjemahan Bahasa Jepun yang asal ke Melayu, dan kemudian dibanding semula dengan salinan bahasa Inggeris. Namun, kesukaran mendapatkan teks asal Jepun memaksa pihak kami untuk hanya menterjemah sesetengah bab dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu sahaja. Kerja memutihkan teks, menterjemah, menaip dan membaca pruf dilakukan oleh kumpulan kami.

Rujukan yang digunakan dalam terjemahan ialah Laman Web DBP serta aplikasi kamus Jepun, Shirabe Jisho.

Laras bahasa
Laras bahasa yang digunakan dalam terjemahan ini mengambil kira faktor tatabahasa dan nuansa bahasa asal (Jepun) dan bahasa Melayu. Seboleh-bolehnya, kami cuba memastikan makna dalam bahasa Jepun itu dikekalkan, atau setidaknya konteks umum dapat ditangkap dalam terjemahan. Namun begitu, bahasa Jepun mempunyai tatabahasa yang agak berbeza berbanding bahasa Melayu.

Contohnya, penggunaan gelaran hormat seperti, -kun, -chan, -san, dan -sama tidak ada dalam bahasa Melayu. Oleh itu, kami memutuskan untuk menggugurkan gelaran hormat itu dan menggunakan kata ganti diri yang sesuai dalam bahasa Melayu. Misalnya, "aku" dan "kau" digunakan jika sesama rakan lelaki rapat yang menggunakan gelaran -kun. Gelaran -san pula boleh digantikan dengan gelaran Encik/Cik, manakala gelaran -sama digantikan dengan gelaran Tuan/Puan.

Kami turut menggunakan perkataan dan ejaan tidak standard/gramatis dalam bahasa Melayu bagi mencerminkan penuturan sebenar dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang kerap menggunakan singkatan dalam perbualan mereka. Perkataan tersebut akan ditulis tebal dan condong, untuk memaklumkan kepada pembaca bahawa ia tidak standard/gramatis. Sebagai contoh:

kitorang (kita orang), korang (kau orang/kalian), diorang (dia orang), ni (ini), tu (itu), saja (sahaja/sengaja), ke (imbuhan -kah)

Kata seruan yang tidak standard seperti "weh", "wei" dan "woi" juga ditulis tebal dan condong.

Singkatan seperti "dah" dan "tak", dan beberapa singkatan lain tidak ditulis tebal dan condong, kerana sudah terakam di dalam Kamus Dewan dan boleh dianggap gramatis.

Perkataan pinjaman asing kadangkala digunakan meskipun ada padanannya dalam bahasa Melayu. Hal ini kerana kata asing tersebut sudah digunakan secara meluas oleh penutur Melayu, ataupun padanan Melayunya bunyi agak janggal. Apabila kata pinjaman asing digunakan, perkataan itu ditulis condong. Contohnya, handphone, app dan download.

Kata kesat dan makian
Terdapat penggunaan perkataan kurang sopan seperti "sial", "tak guna", dan "celaka". Perkataan tersebut digunakan atas lesen artistik (artistic license) kerana bersesuaian dengan adegan atau babak dalam cerita. Oleh yang demikian, kami sarankan agar bacaan ini tidak disyorkan kepada kanak-kanak bawah umur 13 tahun. Sila gunakan budi bicara anda sendiri sebelum membaca.

Mahu menyumbang?
Setakat ini kami ingin mencari sukarelawan yang ingin menjadi pemutih teks (text cleaner). Anda boleh melakukan kerja memutihkan teks ini mengikut bab, simpan semua fail dalam jpeg dan zipkan. Kemudian, sila hantarkan mesej ke profil saya, dan jangan lupa nyatakan nama anda, dan sertakan link untuk saya download. Kami akan paparkan nama anda pada muka surat kredit untuk bab/manga yang telah anda kerjakan, sebagai penghargaan kami kepada sumbangan anda. Maaflah, kami tak ada wang untuk membalas. Semoga Tuhan membalas jasa baik anda.

Kesilapan
Jika anda ada ternampak kesilapan, sila tulis di ruangan komen bab tersebut, atau hantar mesej kepada kami, agar dapat diperbetul. Anda juga boleh hantar mesej kepada kami, sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris, jika ada cadangan atau saranan.

TERIMA KASIH DAN SELAMAT MEMBACA!!! ENJOY YOUR READING!!!